Friday, February 3, 2012

Bridged Silat Khas (2)


Setelah bersusah payah tunggang terbalik berlatih, tulang bahu terkalih, lebam biji mata, tersumpih gigi dan calar balar,akhirnya sempurna 29 purnama. Kesemua lima Bedul Bersepupu di panggil ke ruangan tamu gua untuk majlis yang ibaratnya seperti Istiadat Kovokesyen. Tiada persembahan daripada artis tempatan atau antarabangsa untuk memeriahkan majlis , cukup sekadar sebuah majlis yang cuma ala kadar,asalkan buat sahaja walaupun jauh di sudut hati Kiyai Fierdauos, dia teringin benar mahu melihat secara langsung Liyana Fizi memetik gitar.Walaupun sudah 53 tahun tinggal di dalam gua, dia tidak ketinggalan dalam hal dunia hiburan.Ilmunya yang luas membolehkan dia sampai ke tahap menonton televisyen secara batin.

“Anak-anak muridku berlima,cukup sudah 29 purnama kamu semua di sini makan bertanggung berak mencangkung.Segala ilmu sudah aku perturunkan.Gunakannya sebaik mungkin untuk jalan kebenaran.Janganlah di gunakan ilmu itu untuk menunjuk handal mahupun memikat si dara pingitan atau si janda manis”, Pesan Kiyai Fierdauos sambil menggaru-garu kepala lutut yang berbintik-bintik kesan gigitan nyamuk.

Bedul Bersepupu seraya mengangguk-angguk kepala tanda faham akan pesanan guru mereka. Berlaga kepala Bedul Deus dan Bedul Mika akibat terlalu teruja dalam mengangguk. Segala bungkusan yang berisi pakaian serta kitab-kitab lama tulisan tangan Kiyai Fierdauos sudah siap sedia di tangan masing-masing.

Nun jauh di sebuah kampung berjarak dua belas marhalah daripada Gua Bukit Belacan, segala perlakuan Kiyai Fierdauos dan Bedul Bersepupu sedang di perhatikan oleh tiga manusia penyembah iblis. Segalanya di perhatikan melalui isyarat halus yang di utus oleh “sesusuk pemerhati” yang masih berada di sekitar Gua Bukit Belacan. Bayang-bayang terang terlihat pada riak-riak air yang di letakkan di dalam sebuah mangkuk berjenama Alcopal. Penghulu Dondon Shibidibidi, bersama orang kanannya, Titos Endang Malik dan Dukun Syed Sawa Batik, masih leka memerhatikan Istiadat Konvokesyen Bedul Bersepupu di dalam mangkuk jampi yang berjenama Alcopal.

“Nampaknya, lima mangkuk hayun tu dah nak balik ke mari!. Kita perlu berjaga-jaga!. Aku khuatir mereka menghembus bayu bencana kepada kita kelak!”, tutur Penghulu Dondon Shibidibidi. Berkepul-kepul asap cerut keluar daripada mulut dan hidung menampakkan sedikit riak kegelisahan dalam hatinya.

“Janganlah di risaukan benda yang belum pasti wahai penghulu. Sudah maklum, lima bersepupu itu bukannya tandingan kita. Apa lagi yang perlu di gusarkan. Setakat berguru, aku juga dulu pernah berguru”, jawab Titos Endang Malik angkuh. Belangkonnya yang senget di betulkan semula agar kelihatan kemas. Seraut wajah di pandang, kelihatan seperti orang-orang tempatan, namun bila dilihat cara berpakaian yang seperti Raden Gemala Birma, seakan seperti orang Jawa. Berbicara pula dalam bahasa tempatan, sedikit pun tidak berbunyi Jawa. Titos Endang Malik selain hebat berkelahi, dia juga hebat berbicara. Pernah dahulu Sultan Ngisaks-Ngisaks menawarkan jawatan Dato’ Pujangga istana, namun di tolaknya mentah-mentah atas alasan tidak mahu terlibat dalam rasuah di kemudian hari.

“Jangan terlalu yakin Titos. Kau mungkin tidak berapa kenal dengan mahaguru mereka. Aku kenal luar dalam susuk bernama Kiyai Fierdauos itu. Dia bukan sembarangan orang. Ilmunya seluas Pasifik, setinggi Fuji”, sambung Penghulu Dondon Shibidibidi muram, matanya memandang seekor kambing yang sedang leka meragut rumput di tepi tali air.

“Benar sungguh bicaramu wahai penghulu? Berkenan benar aku menguji-uji ilmunya”, sampuk Dukun Syed Sawa Batik yang daripada tadi memilih daun nipah untuk menggulung rokok. Sudah empat helai daun terkoyak. Harapannya yang kelima ini menjadi.

“Memang itu yang mahu aku perintahkan. Aku mahu kau halang perjalanan mereka daripada pulang ke desa ini!”, teriak Penghulu Dondon Shibidibidi pada Dukun Syed Sawa Batik. Dia sedar akan kemampuan Dukun Syed pasti tidak mampu menandingi kehebatan Kiyai Fierdauos dan anak muridnya itu. Namun, tidak salah rasanya kalau di cuba terlebih dahulu.

“Aku faham apa yang berada di benakmu wahai penghulu. Kau tidak yakin akan aku bukan?”, Dukun Syed menelah.

“Sebenarnya, aku sendiri sudah berkira-kira mahu meminta pertolongan daripada sahabat seperguruan aku dahulu. Ilmu aku kalau secara satu, memang tidak kuat dan tidak mampu menandingi mereka. Tapi, sekiranya kami bersatu, pasti aku dapat menewaskan mereka!”, jawab Dukun Syed Sawa Batik yang di katakan memiliki ilmu sihir kelas kedua.

“Siapa sahabatmu itu?”, soal Penghulu Dondon

“Gangga Eyqa Al-Habsyi!”, jawab Dukun syed bersungguh-sungguh

“Perempuan sihir andartu itu?”, pintas Penghulu Dondon, tersenyum, sebaik saja mendengar nama perempuan sihir tersebut.

Hari yang sudah semakin menganjak ke hadapan, memaksa Kiyai Fierdauos mempercepatkan majlis Istiadat Konvokesyen anak muridnya. Perjalanan malam menuruni Bukit Belacan sangat merbahaya, sebolehnya dia mahu Bedul Bersepupu tiba di kaki bukit sebelum senja berkunjung.

“Kamu sekalian Bedul Bersepupu, sebelum aku memutuskan pertalian perguruan dengan kamu semua, ada sesuatu yang mahu aku wariskan kepada kamu semua. Sakti yang sudah lama di simpan, menanti masa untuk diperturunkan. Aku yakin seyakinnya pasti, sudah bertemu dengan empunya yang layak”, bicara Kiyai Fierdauos. Kotak tembaga yang berada di hadapannya, di buka, lalu di keluarkan lima biji batu sebesar tapak kaki bayi.

“Ini bukan batu telaga sapta. Ini batu geliga sakti yang di turunkan daripada langit melalui panahan petir. Setiap satunya memiliki sakti tersendiri. Oleh kerana jatuhnya geliga ini saat pertamanya daripada langit di dalam hutan, semangat binatang telah meresap ke dalam geliga ini. Setiap mereka yang memakainya, memiliki sakti kelebihan seperti yang tersurat mengikut sifat semangat binatang yang meresap”, Kiyai Fierdauos member sedikit penerangan secara ringkas berkenaan hal batu geliga.

Bedul Bersepupu masing-masing berubah wajah. Tidak tahu samada mahu bergembira atau tertekan. Satu kelebihan yang di beri, pasti ada satu tanggungjawab besar yang perlu dipikul kelak. Kiyai Fierdauos menyuruh Bedul Bersepupu berbaris dalam satu barisan untuk menerima batu geliga masing-masing. Setiap satu batu geliga mewakili satu semangat binatang. Rupa binatang tersebut ada terukir pada permukaan batu tersebut. Batu geliga akhirnya bertukar tangan ke empunya yang baharu.

“Ingat, janganlah di zalimi gunanya sakti tersebut. Simpan geliga tersebut baik-baik. Sepurnama lagi, semangat tersebut akan meresap ke setiap inci saraf dan darah kamu, dan pada masa itu, hanya niatkan saja di dalam hati. Insyaallah, sakti tersebut akan muncul dalam diri untuk kamu gunakan di masa kesulitan”, pesan Kiyai Fierdauos

Masing-masing membelek batu geliga yang baru di peroleh, mencari ukiran binatang yang ada untuk mengetahui, semangat sakti apa yang mereka warisi. Bedul Ad mewarisi semangat nyamuk, Bedul Ozu semangat sesumpah, Bedul Berg semangat ulat gonggok, Bedul Mika semangat kelkatu dan Bedul Deus semangat semut api.

“Apa ni tuan guru, semua binatangnya, cuma biasa-biasa. Semangat apakah ini?”, soal Bedul Ozu seakan tidak berpuas hati dengan jenis binatang yang di perolehi. Awal-awal tadi dia sudah membayangkan semangat binatang yang kuat dan gagah seperti ular tedung, harimau ataupun helang.

“Sudah ku jangka.Kalian pasti terkejut. Pandanglah sesuatu dengan mata hati, nescaya akan terlihat apa yang selama ini terhalang oleh hijab yang teramat nipis. Sepurnama yang aku sebutkan tadi adalah masa yang perlu kamu luangkan untuk mengenali sifat-sifat binatang yang kamu warisi semangatnya. Sempurna yang satu itu, maka sempurnalah semangatnya meresapi diri kamu”, jawab Kiyai Fierdauos senafas

“Baiklah tuan guru!”, Bedul Mika memberi kata janji

Dalam keadaan yang sedikit sayu dalam hati Kiyai Fierdauos, anak muridnya yang berlima itu di lepaskannya pulang ke halaman tempat asal mereka. Sedetik itu juga, Kiyai Fierdauos beroleh firasat yang tiba-tiba muncul berbisik ke hatinya. Bedul Bersepupu yang sudah melangkah menghampiri pintu gua, di panggil.

“Dalam perjalanan pulang kalian, akan ada halangan yang bakal kamu semua tempuhi. Hadapinya dengan tenang dan waras”, kata Kiyai Fierdauos, memberitahu isyarat firasatnya sebentar tadi.

Bedul Bersepupu tidak memberi sebarang reaksi. Mereka meneruskan langkah menuju ke pintu gua selepas selesai memberi ucapan salam selamat tinggal kepada guru mereka. Setibanya betul-betul di muka pintu gua, kelima-lima mereka memberhentikan langkah, seraya menadah tangan sambil memejam mata.

“Bismillahhirrahmanirrahim. Allah payung aku, Jibrail kota aku, Malaikat 44 pagar aku, Aku berjalan dengan kuasa Allah, Aku melenggang dengan melenggang Muhammad, Bukan kata aku, Kata Allah, Dengan berkat doa lailahaillallah, muhammadurrasulullah”, tutur Bedul Bersepupu serentak melafazkan kalimah keramat serapah kebal melayu.

Langkah seterusnya di atur dengan berhati-hati. Pesanan kiyai Fierdauos berlegar-legar dalam benak mereka. Halangan apakah yang bakal di tempuh. Berdayakah mereka menempuhinya?

Insyaallah. Jika Yang Maha Kuasa mengurniakan izinNya.


5 comments:

Wadi AR said...

bape hari bertapa ni?

Brader Chacha said...

Tuju ke sapa soalan tu? Cerita ke, org yg tulis?

Wadi AR said...

dua dua pon boleh encik

Brader Chacha said...

kalau cerita, 29 purnama..kalau org yg tulis, 4 bulan..

Bozu said...

babi, sedap gila cerita..