Wednesday, July 6, 2011

Bridged Silat Khas


Di sebuah daerah di beri nama Diisaks dalam naungan negeri Ngisak-Ngisak, tesergam sebuah bukit yang bernama, Bukit Belacan. Tidak pernah pula dikhabarkan oleh orang tua-tua mahupun tertulis dalam mana-mana manuskrip akan penemuan tinggalan bersejarah perdagangan belacan sewaktu era belacanisme di bukit tersebut. Bahkan, fosil belacan itu sendiri juga tidak pernah di temui oleh mana-mana bijak pandai arkeologi. Tiada bukti kukuh secara lisan mahupun bertulis menerangkan mengapa bukit tersebut di namakan sedemikian. Isu ini suatu masa dahulu pernah di debatkan oleh masyarakat setempat sehinggakan ada yang tidak bertegur sapa melebihi 3 hari. Ketahuilah,bahawasanya Rasulullah SAW pernah bersabda,mafhumnya

“Tidak halal bagi seorang muslim tidak bertegur sapa (kerana bergaduh hal duniawi) lebih daripada tiga hari. Yang lebih baik antara keduanya adalah memulakan salam”

Majoriti masyarakat setempat yang di selubungi misteri berkenaan hal penamaan bukit tersebut, sebenarnya tidak menyedari akan wujudnya satu lagi misteri berkaitan bukit tersebut. Kewujudan sebuah gua berkeluasan 120 kaki persegi di atas bukit tersebut, tidak ramai yang tahu. Hanya mereka yang telus mata dan terang hati saja di katakan mampu melihat gua tersebut. Tersimpan 1001 rahsia ilmu persilatan melayu di dalam gua tersebut yang di simpan dan di pelihara oleh seorang mahaguru bernama Kiyai Fierdauos Kosman Al-Gubra. Ilmu ‘Kamasutra Alam Melayu Silam’ yang di katakan lebih hebat daripada ‘Permata Yang Hilang’ juga di katakan boleh di dapati. Hampir 53 tahun Kiyai Fierdauos bermastautin di gua tersebut dengan hanya memakan tumbuh-tumbuhan.

Siapa yang tidak kenal dengan Kiyai Fierdauos. Tak lut di makan senjata tajam mahu pun tumpul malah mampu menundukkan lembu dan kerbau dengan hanya bersiul-siul lagu rakyat. Antara lagu yang sering menjadi seleksi siulnya adalah lagu rasa sayang hey dan nenek-nenek si bongkok tiga. Khidmatnya memang laris apabila tiba tanggal 10 Zulhijjah. Tapi itu dulu punya cerita. Walaupun kebal dan hebat, namun Kiyai Fierdauos tetap seorang manusia. Ada hati dan perasaan.Kasih dan sayang. Suatu anugerah Allah yang di ciptakan di syurga,di serahkan kepada Adam taktala di ciptakan Hawa sebagai peneman hidup. Dek kerana kasih dan sayanglah dia pergi membawa diri jauh daripada masyarakat lalu terdampar di dalam gua di Bukit Belacan. Orang zaman sekarang panggil, ‘Kes Rabak’.

Seperti telah tersurat, di takdirkan pada suatu malam, Kiyai Fierdauos mendapat alamat akan datangnya 5 anak muda untuk berguru. Di dalam mimpinya, Kiyai Fierdauos melihat 5 ekor arnab sedang berebut sebiji lobak merah. Perebutan yang berlangsung selama hampir 2 purnama akhirnya berjaya di selesaikan dengan kehadiran seekor kuda berbulu emas. Sejurus terjaga daripada mimpi, Kiyai Fierdauos menyelak helaian kitab ‘Tafsiran mimpi’. Daripada apa yang ditafsirkan,dia amat yakin dalam kiraan 3 kali bumi mengorbit matahari, 5 orang pemuda tersebut akan sampai di pintu gua.

Kiyai Fierdauos, berbunga hatinya selepas mendapat alamat tersebut, iyalah, sudah 53 tahun dia tinggal seorang, sudah lama dia tidak ada teman. Namun sebab utama kegembiraanya bukanlah itu. Dengan kehadiran 5 orang pemuda tersebut, maka dapatlah segala ilmu yang dimilikinya di wariskan. Memandangkan usia yang semakin bertambah jumlahnya, kudrat yang semakin berkurangan, sudah sampai masanya ilmu itu di perturunkan sebelum jasadnya terbujur kaku di telan bumi. Segala persiapan rancak di jalankan, daripada hal kemasan dalaman hinggalah hal-hal kebersihan laman gua. Perabot lama di tukar, akuarium kembali di isi dengan ikan puyu yang di katakan mampu memberi amaran perlakuan sihir. Gua yang sebelum ini suram,kelihatan lebih kemas dan teratur, cuma dindingnya sahaja tidak di cat bagi mengekalkan suasana berada di dalam gua. Semuanya di pastikan dalam keadaan ‘tip top’ bagi menyambut kehadiran 5 pemuda tersebut.

Bedul Ad, Bedul Ozu, Bedul Mika, Bedul Berg dan Bedul Deus.Lima sepupu yang berkobar-kobar mahu menuntut ilmu persilatan akhirnya sampai di hadapan pintu gua setelah hampir 3 hari berjalan kaki ke Bukit Belacan sedangkan mereka sepatutnya boleh sampai dalam masa 30 minit sahaja dengan menaiki kereta menggunakan jalanraya. Idea gila dengan berjalan kaki yang di cadangkan oleh Bedul Deus menyebabkan mereka keletihan akibat kurang baring, namun dek semangat yang tinggi, di gagahkan juga badan menempuh perjalanan walaupun dalam hati masing-masing akur mengatakan perbuatan tersebut adalah bangang di sisi masyarakat.

“Assalamualaikum ooo assalamualaikum”, Bedul Mika memberi salam

“Warrgghhhhhh!”, teriak Kiyai Fierdauos daripada belakang. Awal-awal lagi dia sudah bersembunyi di sebalik pokok pinang di hadapan pintu gua. Sengaja mahu mengejutkan Bedul Bersepupu. Bedul Berg yang paling terkejut, mengurut-ngurut dada.Terlepas juga ‘opocot’ daripada mulutnya tadi.

“Terimalah kami sebagai anak muridmu wahai tuan guru”, bicara Bedul Deus mewakili Bedul Bersepupu sambil berlutut taktala Kiyai Fierdauos datang menghampiri.

“Sudah, bangun! Kita bukannya dalam cerita Kungfu!”, jawab Kiyai Fierdauos. Ditariknya side bum Bedul Deus sebagai isyarat menyuruh bangun daripada berlutut.

Maka dengan mulanya langkah pertama mereka berlima ke dalam perut gua, bermulalah segala apa yang mereka hajati. Kiyai Fierdauos tidak lokek menurunkan segala ilmu, dicurahkan segalanya,tiada satu pun tertinggal. Daripada ilmu  yang sekadar memerlukan gerakan bibir hinggalah ilmu yang menggunakan kudrat serta kelincahan pergerakan. Modul yang di rancang selama 29 purnama berlangsung dengan lancar kerana mereka berlima jenis yang mendengar kata dan terang hati,sekali ajar terus dapat.

Kiyai Fierdauos tersenyum melihat kesungguhan yang di pamerkan oleh Bedul Bersepupu.

“Aku ada sesuatu yang mengejutkan untuk kamu, sakti yang sudah lama aku simpan”, bisik Kiyai Fierdauos dalam hati sambil mencicah ubi kayu rebus ke dalam tempurung berisi gula.

“Pehhh,sedap bukan main!”, teriak Kiyai Fierdauos sejurus selepas ubi kayu rebus mencecah lidah.Ibu jarinya di angkat ke udara sebagai tanda puas hati. Mengikut kiraan tingginya ibu jari di angkat, jelaslah nikmat yang di rasakannya ketika itu mengatasi nikmat bersenggama dengan gadis sunti di malam pertama selepas pernikahan.

Bedul bersepupu memandang Kiyai Fierdauos yang tiba-tiba berteriak. Aroma ubi kayu rebus menerobos hidung mereka.Tidak sampai 5 nafas, mereka sudah berada di keliling Kiyai Fierdauos,sama-sama menikmati ubi kayu rebus. Walaupun tidak cukup syarat untuk di panggil diet seimbang,ia masih berbaloi dan mampu membuat masing-masing tersenyum. Keasyikan menikmati rezeki daripada yang Maha Pemurah terganggu seketika taktala telinga mereka di datangi satu bunyian.

“Sreeettttt sreetttt sreettttt”, bunyi seakan ada sesuatu berjalan di hadapan pintu gua.

Bedul bersepupu senyap. Mata masing-masing memandang ke arah satu sama lain. Kiyai Fierdauos kelihatan tenang. Dia hanya memerhatikan ke arah datangnya bunyi tersebut. Senafas udara di sedutnya dalam-dalam, hidungnya mentafsir bau yang ada. Dia sudah dapat menduga dengan siapa sedang dia berhadapan.Bukan musuh yang datang mahu membuat kacau,cuma ‘sesusuk perantara’ yang di utus sekadar untuk memerhati. Mungkin upahan daripada seseorang untuk mengintai gerak-geri dia serta anak muridnya. Serta merta,Kiyai Fierdauos menggenggam pasir, lalu terkumat-kamit mulutnya membaca sesuatu dalam nada suara yang dapat di dengari oleh Bedul bersaudara.

“Hoi, kalau berani masuk la! Apa barang main sreeetttt sreettt dekat luar!”, teriak Bedul Ad secara tiba-tiba.Bedul Ozu pantas menarik tangan Bedul Ad yang di lihat sudah mula melangkah, bimbang di lempang dek Kiyai Fierdauos yang sudah menjeling. Di katakan Kiyai Fierdauos pernah melempang seekor gajah yang sedang naik minyak sehingga tumbang dengan sekali lempang. Bayangkanlah akibatnya kalau Bedul Ad yang bersaiz manusia di lempang. Mahu meninggal dekat situ juga.

“Hai jin sememangnya yang aku tahu asal engkau, jika engkau meniarap makan darah bapamu, jika engkau melentang makan darah ibumu, jika engkau mengiring sebelah kanan makan darah kakakmu, jika mengiring sebelah kiri makan darah adikmu, jika ke dunia, sang raya namamu, jika mengiring sebelah kiri sang bima namamu, jika mengiring sebelah kanan, sang salika namamu, jika ke bawah salika nganga tapuk namamu, jika ke atas sang juna namamu..Nyahlah engkau dari sini, jika tiada engkau nyah dari sini, derhakalah engkau kepada Allah S.W.T, di masukkan engkau ke dalam neraka jahanam..Berkat doa Lailahaillallah, Muhammadurrasulullah, sah penadah kepada laut Subhanallah”, serapah Kiyai Fierdauos sebelum pasir di gengamannya di hembus sebanyak tiga kali

Pasir di hempas ke arah datangnya bunyi tadi. Serta merta, suasana menjadi sunyi sepi.

“Ada orang yang sedang memerhatikan kita.Jangan bimbang, selagi kamu semua di dalam gua ini, Insyallah, naungan Allah berada bersama kamu.Tapi ingatlah, melangkah keluar sahaja kamu dari gua ini, ada sesuatu yang menunggu kamu.Aku sendiri tidak berapa pasti  apa muslihatnya”, pesan Kiyai Fierdauos kepada Bedul Bersepupu

“Okeh, sambung latihan!”, teriak Kiyai Fierdauos dalam keadaan bersila sambil tangannya meraba-raba bekas berisi ubi rebus tadi. Cuma angin saja yang tinggal dalam bekas.

Kelihatan Bedul Berg bersungguh-sungguh memasang kuda-kuda untuk memulakan latihan dengan mulut yang penuh dengan ubi rebus sampai kembung-kembung pipi.

2 comments:

ju said...

extremenya ejaan nama 'Fierdauos'

Dark Half said...

gua bersimpati sebenarnya dgn Kiyai Fierdauos yg sanggup bertapa 53 tahun tanpa nikmat senggama bersama sang hawa semata-mata nak mendapatkan kuasa menempeleng gajah dgn sekali lempangan

mungkin juga dia rasa berbaloi bersenggama dgn bidadari syurga nanti